KUALA LUMPUR, 20 Januari- Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengelar isterinya beberapa kali sebelum mencederakan dirinya sendiri dalam satu kejadian di Lebuhraya Kesas berhampiran Kota Bayu Emas di Klang semalam.
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong menerusi satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pasangan berkenaan yang masing-masing berusia 50 dan 49 tahun menaiki sebuah kereta dalam perjalanan menuju ke kedai makan.
Beliau berkata ketika dalam perjalanan berlaku perselisihan faham menyebabkan suspek menghentikan keretanya di tepi Lebuhraya Kesas.
“Suspek kemudiannya mengeluarkan pisau pemotong dan bertindak mengelar isterinya beberapa kali. Mangsa yang ketakutan keluar dari kereta itu untuk meminta bantuan orang ramai.
“Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberi bantuan, suspek terus melarikan diri menaiki keretanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Cha berkata kenderaan itu kemudiannya dikesan berhenti di Jalan Batu Nilam dan anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta.
“Anggota polis kemudiannya bertindak memecahkan tingkap untuk membuka pintu sebelum menyelamatkan suspek dengan bantuan pihak ambulans.
“Suspek yang mengalami luka kelar di kedua-dua belah pergelangan tangan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya.
Menurutnya, isteri suspek yang mengalami kecederaan luka kelar di leher, bahu, tangan kaki dan belakang juga dirawat di hospital yang sama.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Cha berkata polis mengesan beberapa video berkaitan kejadian ini tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai tidak menularkan atau berkongsi video berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana bali polis berhampiran,"katanya.