KOTA BELUD, 4 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka untuk memperbaik proses permohonan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menghormati pendedahan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) semalam.
Katanya KDN serta agensi bawahnya amat mengutamakan keselesaan pelanggan, iaitu rakyat.
"Perlu juga saya sebutkan bahawa ada juga berlaku, permohonan daripada rakyat itu sama ada gagal ataupun ditolak terus adalah kerana dokumen itu palsu.
"Contohnya, di klinik bersalin yang sebenarnya tidak berlaku pun proses kelahiran di situ tetapi digunakan untuk mengeluarkan pengesahan kelahiran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangkalan Abai di sini.
Saifuddin Nasution berkata JPN juga mempunyai piagam yang sangat jelas, pantas dan cepat tanpa kompromi dari sudut ketulenan bagaimanapun sekiranya perlu ada elemen penambahbaikan, pihaknya terbuka untuk menambah baik proses itu.
"Apabila rakyat yang memerlukan perkhidmatan terkesan kerana proses lambat, menjadi kewajiban KDN untuk memperbaiki," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan EAIC mendedahkan terdapat kelewatan tidak wajar oleh seorang pegawai penyiasat JPN Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu melibatkan seorang kanak-kanak.