IPOH, 4 Mac- Sebanyak 28 unit kenderaan mewah pelbagai jenama dirampas bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini membabitkan nilai RM10.4 juta.
Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, serbuan rampasan kereta-kereta berkenaan dilakukan di 12 lokasi berbeza sekitar Perak dan Selangor.
Dalam serbuan tersebut, 11 individu berusia antara 40 hingga 50 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Rampasan bernilai lebih kurang RM10.4 juta disyaki barang belum lulus kastam dan disimpan di dalam premis terlibat. Pihak JKDM negeri Perak juga telah menahan 11 individu yang disyaki sebagai pemilik kenderaan dan pemilik syarikat untuk membantu siasatan,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Bangunan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak di Ipoh.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d), Seksyen 133(1) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.