fb fb fb fb fb

Kastam Johor rampas 51kg kokain disorok dalam penyaman udara kontena bawa bawang

Aminul Izmeer Mohd Sohaimi menunjukkan dadah yang dirampas kepada media

JOHOR BAHRU, 27 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri Johor menggagalkan cubaan sindiket antarabangsa membawa masuk dadah seberat 51 kilogram bernilai RM10.3 juta yang disembunyikan dalam penyaman udara sebuah kontena membawa bawang di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada 15 Mei lepas.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kontena itu didapati dalam perjalanan dari China ke destinasi akhir, Kuching, Sarawak.

"Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan cubaan menyeludup dadah secara sembunyi menggunakan kontena sejuk beku untuk mengaburi pihak berkuasa,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media JKDM Johor, di Menara Kastam Johor Bahru, Johor.

Sementara itu, Aminul Izmeer memaklumkan, pihaknya turut berjaya mematahkan sindiket penyeludupan daging sejuk beku sebanyak 135 tan bernilai RM2.1 juta menerusi dua operasi berasingan di Lebuhraya Pasir Gudang dan Cawangan Import, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, 21 Mei lalu.

Beliau berkata, lima buah lori membawa muatan daging sejuk beku seperti daging khinzir, lembu, dada ayam dan kepak ayam itu tidak diikrar serta tiada permit.

Lima lelaki berusia dalam lingkungan 40 tahun, dipercayai pemandu lori berkenaan ditahan, sebelum dilepaskan dengan jaminan RM10,000 bagi setiap tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, 70,000 unit peranti rokok elektronik dan cecair rokok elektronik pelbagai jenama bernilai RM971,942 turut dirampas JKDM Johor di sebuah gudang di kawasan perindustrian, Ampang, Selangor, 14 Mei lalu.

Semasa serbuan dilakukan, premis terbabit didapati tidak berkunci serta tidak berpenghuni.

Sindiket menjadikan premis itu sebagai stor penyimpanan rokok elektronik dan cecair rokok elektronik tidak berkastam sebelum diedarkan kepada orang awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE