fb fb fb fb fb

Polis ambil keterangan bapa kanak-kanak pandu kereta bawa adik bersiar  

Tangkap layar video tular kejadian/ RTM

PUTRAJAYA, 30 Julai- Polis sudah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak bawah umur yang memandu kereta membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor pada 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata lelaki berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu di media sosial pada 6.30 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan memandu kereta jenis Perodua Viva dengan membawa dua adik lelakinya berusia enam dan empat tahun untuk bersiar-siar di kawasan perumahan itu kira-kira 8 malam pada Ahad lepas. Siasatan lanjut masih diteruskan," menurut kenyataan itu.

Wan Kamarul berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi membantu siasatan.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

ZEHRA BINTI ZAMBRI