fb fb fb fb fb

Beri suapan RM1,000,penjaga kedai warga Bangladesh mengaku salah

Foto RTM

Johor Baharu, 30 Julai-Seorang penjaga kedai runcit warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, hari ini atas pertuduhan memberi suapan kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu. 

Tertuduh, Ali Sultan, 39 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa terbabit, pada 16 Ogos 2023.

Tindakan berkenaan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Kedai Runcit Al Marhaba kerana gagal mematuhi kehendak notis dikeluarkan MBIP untuk menghentikan aktiviti perniagaan menjual ayam, itik dan ikan hidup yang menyalahi Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kesalahan dilakukan di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah, pada pukul 11.04 pagi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fazal Lisam Abidin, mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes, serta lantikan peguam dan jurubahasa Bangladesh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD