KENINGAU, 30 Julai - Seorang banduan yang baharu dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Keningau berjaya ditahan semula pada pukul 9.30 malam tadi selepas cuba meloloskan diri semalam.
Muhammad Safwan Shahir Jasuf Abdullah, 24 tahun nekad melarikan diri dengan melompat keluar dari tingkat dua bangunan mahkamah pada pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Keningau, Suprentendan Yampil Garai berkata, polis berjaya menahan banduan berkenaan semasa sedang bersembunyi di dalam reban ayam sebelum di bawa balik ke Ibu pejabat polis daerah (IPD) Keningau untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian, suspek sedang dibacakan hukuman enam bulan penjara atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada pukul 2.30 petang di hadapan majistret Majistret Flavian Edward Henry.
"Sebaik sahaja hukuman penjara selama enam bulan dibacakan, suspek secara tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh, lalu menolak tingkap kaca dan melompat dari tingkat dua.
"Suspek kemudian ke bahagian bumbung garaj setinggi kira-kira dua meter sebelum melompat ke bawah dengan ketinggian empat meter lalu berlari ke pagar mahkamah sejauh 70 meter," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, hasil tindakan cekap dan pantas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau berjaya menangkap suspek pada 9.30 malam.
“Suspek dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.