fb fb fb fb fb

JSJN Selangor rampas dadah bernilai RM306.31 juta dalam tempoh 10 bulan

SHAH ALAM, 7 November - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor berjaya merampas dadah dianggarkan bernilai RM306.31 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pelbagai jenis dadah yang dirampas antaranya syabu (2,244.12 kg), ganja (407.98kg), heroin (169.19kg), ketamin (129.42kg) dan kokain (105.09kg).

Selain itu, heroin base (26.06kg), pil estacy (99,550 biji), daun ketum (825.53kg), cecair ketum (5,525.08kg) dan candu masak (8.93 gram).

"JSJN Selangor turut berjaya menangkap seramai 18,911 orang terlibat dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.

"Daripada jumlah itu, seramai 609 pengedar dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada masa sama, JSJN Selangor berjaya menumpaskan 29 sindiket pengedaran dadah, termasuk empat kes makmal dadah haram di negeri ini," katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Hussein, pihaknya turut menyita aset pengedar dadah yang membabitkan wang tunai, kenderaan, hartanah, bangunan dan rumah bernilai RM11.43 juta bagi tempoh sama.

GRACE AISYAH KEDAYAN