fb fb fb fb fb

JSJN Kelantan gempur laluan haram, bendung kemasukan dadah

200 gram pil yaba bernilai kira-kira RM30,000 dirampas

TANAH MERAH, 20 Oktober- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menggempur laluan pengkalan haram dan pintu masuk yang sah ke negara ini dalam usaha memerangi permasalahan dadah di sempadan menerusi Operasi Khas Sempadan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superitenden Mohd Haki Hasbullan berkata, menerusi operasi terbaru dilaksanakan semalam, pihaknya berjaya menyelesaikan 16 kes dan melakukan 16 tangkapan.

"Dalam operasi tersebut, seorang lelaki ditahan bersama-sama 200 gram pil yaba bernilai kira-kira RM30,000 dirampas.

"Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Mohd Haki turut memaklumkan, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, pihaknya berjaya menyelesaikan 233 kes dan 244 suspek berjaya ditahan.

Daripada jumlah tersebut, 16 suspek ditahan bawah kategori bekalan, 68 individu di bawah kategori memiliki dadah dan 160 penagih dadah.

Bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius dalam memerangi dan menangani masalah dadah di Kelantan khususnya di kawasan hotspot.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI