fb fb fb fb fb

Dua sindiket dadah bernilai RM3.698 juta tumpas

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 20 Oktober - Dua sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.698 juta ditumpaskan hasil penahanan enam individu dalam empat serbuan di sekitar Johor Bahru, Johor, antara 15 hingga 17 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata sebanyak 21.835 kilogram dadah pelbagai jenis dan 519 mililiter cecair dadah, telah dirampas.

Serbuan pertama yang dilakukan pada 15 Oktober berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun di sebuah pangsapuri berpengawal.

Saringan ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis metamfetamin dan ketamin, dengan seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Dari pemerhatian, mereka menyewa pangsapuri tersebut hanya seminggu, namun aktiviti ini telah dikesan sejak dua bulan lalu. Mereka sering berpindah dan menyewa inap desa dalam jangka waktu singkat," katanya pada sidang media, di sini.

Tiga serbuan seterusnya, yang dilakukan pada 16 dan 17 Oktober, melibatkan penahanan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 44 tahun.

Kesemua mereka turut didapati positif dadah jenis metamfetamin dan semakan lanjut mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Antara dadah yang dirampas sepanjang operasi termasuk serbuk ekstasi, ketamin, syabu, pil erimin 5, dan ganja, yang boleh digunakan oleh seramai 102,699 penagih.

Kesemua suspek kini direman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN