KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Taktik menggunakan van untuk memindahkan ternakan bagi mengelak ditahan gagal, apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berjaya mematahkan aktiviti itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Pengarah JPV Terengganu Dr Anun Man berkata, ia hasil risikan dan operasi yang diketuai Ketua Penguatkuasa JPV Terengganu Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah.
Katanya, pasukan penguat kuasa telah mengekori kenderaan itu sejauh 68 kilometer (km) bermula dari Kampung Tok Has Besut menghala ke Jambatan Kampung Lampu sebelum menahan van terbabit di Kampung Banggol Nibong, di Setiu.
Hasilnya 24 ekor kambing berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan bernilai RM94,000.
Justeru orang ramai diingatkan tidak membeli ternakan kambing yang dijual pada harga murah di pasaran kerana tidak melalui pemeriksaan dan kawalan penyakit daripada JPV.
"Terengganu sebenarnya kita telah pun merekodkan satu kes yang pertama di Malaysia sebenarnya didapati ada penyakit "brucellosis" kepada ternakan yang dibawa secara tidak sah ke Malaysia atau ke Terengganu dalam lembu dan ternakan kambing.
"Jadi perkara ini sangat membimbangkan bukan sahaja kepada industri ternakan tetapi juga kepada manusia yang makan ternakan yang dibawa secara haram dengan harga murah, kita tahu kambing yang di bawa secara tidak sah adalah tidak mematuhi spesifikasi," kata Dr Anun.
Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Veterinar Negeri Terengganu, di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM15,000.