KOTA BHARU, 3 April- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 960,000 batang rokok seludup bernilai RM105,600 dengan anggaran cukai lebih RM664,000 dalam operasi di pangkalan haram, Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, kelmarin.
Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu dilakukan pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu kira-kira pukul 5.00 pagi.
Kesemua rokok berkenaan dipercayai di seludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan berkemungkinan untuk bekalan Hari Raya Aidilfitri.
"Rokok tersebut daripada tengah laut dimasukkan ke dalam bot-bot kecil dan dihantar ke persisiran pantai.
"Kenderaan di pesisir pantai sama ada kenderaan lori ke kereta akan diangkut untuk dijual ke pasaran tempatan di Kelantan sendiri," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Negeri Kelantan, di sini.
Bagaimanapun semasa operasi itu dijalankan suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Menurut beliau, siasatan masih terus dijalankan bagi mengenalpasti pemilik dagangan yang dirampas.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.