fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan tak mengaku tipu projek pelaburan palsu RM580,000

Tertuduh, Ahmad Kamal Akbar Ramin@Abd Rahim, tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan menipu pelaburan projek perumahan dan rumah kedai

BUTTERWORTH, 3 April- Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sini atas tujuh pertuduhan menipu berhubung projek pelaburan perumahan dan rumah kedai tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian sehingga RM580,000, enam tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Kamal Akbar Ramin@Abd Rahim, memohon semua kesnya dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berkaitan beberapa projek perumahan dan rumah kedai yang tidak wujud.

Tipu helah tertuduh menyebabkan mangsa menyerahkan beberapa keping cek berjumlah RM580,000 atas nama syarikat Akar Bina Teguh Sdn Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di Kompleks Perniagaan Tasek Gelugor pada 8 September 2018 dan 24 September 2018 antara pukul 12.15 tengah hari hingga 2.20 petang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Kesiksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Amira Shahidani, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ima Syakira Mohd Salim.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM56,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

SITI AISHAH MD ISA