fb fb fb fb fb

JIM Terengganu tahan 17 wanita Thai jadi "pelaris"

FOTO RTM

KUALA TERENGGANU, 27 September- Taktik sebuah pusat hiburan yang berselindung di sebalik restoran terbongkar apabila premis itu diserbu Bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia JIM Terengganu.

Dalam operasi Gegar yang bermula pukul lapan malam sehingga enam pagi semalam, 17 wanita warga Thailand berusia antara 19 dan 33 tahun diberkas.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri Kawalan, Mat Amin Hassan ketika dihubungi berkata operasi itu diadakan berdasarkan aduan orang ramai mengenai kehadiran wanita warga asing di premis berkenaan.

Hasil risikan sebelum serbuan dilakukan mendapati pengusaha premis berkenaan menjadikan  wanita warga asing itu sebagai pelaris perniagaan termasuk di pusat hiburan yang diusahakan.

Difahamkan, pemilik pusat hiburan itu hanya memiliki lesen kedai makan dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan.

Mat Amin berkata 52 individu termasuk pelanggan di pusat hiburan itu diperiksa.

Daripada jumlah itu hanya 17 wanita warga Thailand yang disyaki melanggar syarat pas dan permit serta tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah ditahan.

Pihaknya juga mengeluarkan notis kepada dua warga tempatan yang berkerja di pusat hiburan itu untuk hadir ke pejabat JIM negeri bagi mendapatkan keterangan serta membantu siasatan.

Manakala Wanita warga Thailand yang ditahan dihantar ke depot Imigresen Ajil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE