fb fb fb fb fb

GISBH: 55 kanak-kanak diselamatkan di Perak

Saarani Mohamad

LENGGONG, 27 September- Seramai 55 orang kanak-kanak berjaya diselamatkan dari rumah amal milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di seluruh negeri Perak sejak Op Global dilaksanakan pada 21 September lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kesemua mereka kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan yang dipantau penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

"Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed telah menguruskan perkara ini, dan difahamkan semalam sudah ada 55 kanak-kanak terlibat yang telah dikumpulkan di rumah amal tersebut," katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng di sini hari ini.

Saarani juga akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi membentangkan laporan penuh berhubung kegiatan GISBH di negeri itu dalam masa terdekat.

"Tidak dapat dinafikan memang ada (kegiatan GISBH di negeri ini). Saya sudah minta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengumpul maklumat dan data serta membuat laporan. Secara kebetulan, Sultan Nazrin juga merupakan Pengerusi MKI yang mengendalikan isu ini," katanya.

SITI AISHAH MD ISA