KUALA LUMPUR, 8 Disember - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga India dalam satu operasi khas yang digerakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 serta sebuah kediaman di Jalan Kuching, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan memaklumkan, lelaki tempatan itu dicekup di kaunter pemeriksaan keluar KLIA selepas dikesan cuba berlepas menggunakan pasport India milik individu lain.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek sebenarnya merupakan warga Malaysia dan dipercayai menggunakan pasport India yang dipalsukan identiti pada muka surat biodata, atau menggunakan dokumen milik orang lain," katanya.
Penahanan suspek pertama itu kemudian membawa kepada tangkapan seorang wanita warga India di sebuah kediaman di Jalan Kuching, yang disyaki tinggal lebih masa di negara ini.
"Semakan awal mengesahkan wanita tersebut telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Pasukan operasi turut menyita dua pasport India, sekeping pas masuk pesawat serta sebuah telefon bimbit untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut Datuk Zakaria, lelaki tempatan itu disiasat di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, manakala wanita warga India berdepan siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut, sementara dua lagi individu warga tempatan telah dikeluarkan notis hadir untuk membantu siasatan.
Operasi bersepadu itu membabitkan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).