IPOH, 3 Ogos- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi di sekitar daerah Kinta pada Jumaat.
Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan dibuat ke atas lima restoran dan sebuah kilang plastik bermula pada 11.15 pagi dan tamat pada 10.30 malam.
Jelasnya, ia berdasarkan aduan dan pemantauan serta risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi pihaknya.
"Menerusi OPS Selera dan OPS Bersama itu, pihak kami telah memeriksa 65 warga asing. PATI yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki dan lima wanita warga Thailand, tujuh lelaki warga Nepal, tiga lelaki dan lima wanita warga Myanmar, serta empat lelaki warga Indonesia dan seorang warga India," katanya.
Ujarnya, PATI yang ditahan dipercayai telah melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, antaranya masuk dan berada di negara ini tanpa pas yang sah dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan serta melanggar syarat pas.
Menurutnya kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun itu telah ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh untuk tindakan lanjut.