fb fb fb fb fb

Bapa bersama anak 12 tahun pandu kereta akan didakwa

Pada 29 Julai lalu, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki dan turut dinaiki dua lagi kanak-kanak.

SEPANG, 3 Ogos - Seorang lelaki bersama anaknya berusia 12 tahun yang dikaitkan dengan video tular kanak-kanak memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong akan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihak polis sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa mereka berdua.

Bagaimanapun, tarikh untuk mendakwa belum dimuktamadkan.

"Kertas siasatan telah diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

"Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987.

"Bapanya pula akan dituduh mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hukuman Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pertuduhan juga akan dibuat bersama dengan kertas siasatan jenayah selepas pegawai penyiasat melaksana tindakan lanjut.

29 Julai lalu, RTM melaporkan satu rakaman video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua adiknya berusia empat dan enam tahun.

Dalam kejadian itu, polis telah merekod keterangan tujuh individu termasuk bapa kanak-kanak berusia 53 tahun yang juga seorang peniaga.

Ini termasuk keterangan kakak kanak-kanak berusia 20-an itu selain beberapa ahli keluarganya.

GRACE AISYAH KEDAYAN