fb fb fb fb fb

Jenazah Nur Farah Kartini tidak dikebumikan hari ini

FOTO RTM

PEKAN, 17 Julai- Jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, tidak akan dikebumikan hari ini kerana masih menunggu keputusan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) sebelum keluarga dibenarkan untuk menuntut jenazah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan hari ini mengesahkan jenazah Nur Farah Kartini masih belum boleh dituntut dan keputusan DNA dijangka akan memakan masa beberapa hari.

Perkara itu turut diakui oleh abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, yang memaklumkan ahli keluarga masih menunggu kebenaran untuk menuntut jenazah di Hospital Sungai Buloh.

Terdahulu, media melaporkan jenazah Nur Farah Kartini dijangka akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan, Pahang selepas disolatkan di Masjid As-Syakirin Tanjung, Selangor

Bagaimanapun, tinjauan kru RTM mendapati suasana di pekarangan Surau Kampung Nyiur Manis lengang, manakala terdapat dua khemah yang hendak dipasang berdekatan kubur dipercayai milik Allahyarham.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Farah Kartini dipercayai meninggal dunia, beberapa hari sebelum mayatnya ditemukan pada Isnin lepas.

Hussein dilaporkan berkata, berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui dalam sebuah paya di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, keadaannya sudah hampir reput.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada Rabu lalu, ditemui mati di kawasan tidak jauh dari FELDA Gedangsa, kira-kira jam 6 petang dipercayai akibat dibunuh individu dikenali mangsa.

Susulan itu, polis menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SITI AISHAH MD ISA