fb fb fb fb fb

JBPM terima 38 aduan berhubung kes penipuan guna nama jabatan

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 20 Julai - Sebanyak 38 aduan daripada orang awam mengenai kes penipuan ‘scammer’ yang menggunakan nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diterima sejak awal tahun hingga kini.

JBPM dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan negeri Sabah (13 kes), Johor (tujuh kes), Terengganu (lima kes), Labuan, Pahang dan Selangor masing-masing tiga kes manakala Melaka, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis adalah satu kes.

"Antaranya ialah kes penawaran pemberian tender pembekalan seperti makanan bermasak, bahan mentah, tayar dan minyak enjin kenderaan serta jentera, juga pengeluaran surat pesanan makanan palsu, dengan menggunakan nama Ketua Balai Bomba atau Pengarah Bomba Negeri,"menurut kenyataan itu.

JBPM berkata pihaknya memandang serius kes penipuan tersebut dan semua mangsa yang terlibat telahpun dinasihatkan untuk membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang telah dihubungi individu tertentu dengan membuat pelbagai tawaran menggunakan nama JBPM boleh merujuk kepada mana-mana Ibu Pejabat Bomba Negeri atau balai-balai bomba terlibat untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.

TETITIA YUSOFF