fb fb fb fb fb

Komen melampau hingga kecam keselamatan individu lain di laman sosial akan dikenakan tindakan tegas- PDRM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terutamanya pengguna media sosial yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau sehingga mengancam keselamatan individu lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan fitnah, ugutan atau buli siber adalah kesalahan jenayah walaupun berlaku di alam siber.

Individu yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang dikuat kuasa antaranya bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau turut menyentuh beberapa spekulasi yang timbul berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang secara tidak langsung boleh mengganggu siasatan pihak polis dan memberi tekanan kepada keluarga mangsa.

Tan Sri Razarudin berkata, ia adalah perbuatan buli siber dan tidak mahu gejala itu berterusan sehingga menyebabkan kematian seperti yang menimpa seorang pempengaruh media sosial baru-baru ini.

Jelasnya lagi, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dalam meneliti dan mengkaji langkah serta tindakan lebih tegas untuk memerangi isu buli siber.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE