fb fb fb fb fb

Kilang proses plastik terpakai sebagai pelet, dilabel makanan ikan disita

Ops Patuh dilaksanakan oleh JAS Kedah bersama PDRM dan JIM ke atas dua buah kilang pagi tadi

SUNGAI PETANI, 3 Julai- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah hari ini menyita kira-kira 1,500 metrik tan sisa buangan terjadual (e-waste), 100 metrik tan plastik siap diproses dan 100 metrik tan produk plastik menerusi Ops Patuh.

Operasi berkenaan dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen (JIM) di dua buah kilang di sini pagi tadi.

Ia turut disertai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Premis berkenaan didapati melakukan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan lesen daripada JAS, serta melakukan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan EIA.

Dalam operasi di kilang pertama, anggota penguatkuasa terpaksa memecahkan pagar untuk masuk ke dalam kilang yang berkunci.

Ketika serbuan dilakukan tiada pekerja berada dalam kilang berkenaan yang dipercayai sudah melarikan diri. Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 1,500 metrik tan sisa e-waste di luar dan dalam premis itu.

Semakan mendapati, kilang terbabit menjalankan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-waste) tanpa kelulusan EIA dan lesen daripada JAS, serta beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu.

Serbuan di kilang kedua terletak bersebelahan kilang pertama pula menemukan kira-kira 100 metrik tan plastik siap diproses sebagai pelet yang dibungkus dalam plastik bertulis 'Makanan Ikan Air Tawar' sebelum disita kerana melakukan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan EIA.

"Ops Patuh yang dilaksanakan hari ini sejajar dan bertepatan dengan aspirasi untuk menjalankan pemutihan terhadap industri haram di Kedah, (selain) bertujuan memastikan aktiviti-aktiviti dijalankan mematuhi undang-undang dan tidak merosakkan kesihatan masyarakat setempat serta menyebabkan ketirisan hasil negeri dan negara.

"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa komited memastikan semua industri yang beroperasi mematuhi (Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) serta lain-lain perundangan berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi tersebut di sini.

Kedua-dua permis berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS dan Seksyen 34A, akta sama kerana gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling kepada JAS.

Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974 kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Premis terbabit juga diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 ke atas mesin-mesin pengeluaran yang digunapakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan. 

Berdasarkan rekod JAS, terdapat 3,526 premis daripada pelbagai sektor industri yang beroperasi di Kedah.  Sehingga Jun 2024, JAS telah berjaya menjalankan 544 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap industri di negeri tersebut.

Daripada jumlah itu, sebanyak 359 tindakan penguatkuasaan telah diambil yang merangkumi pengeluaran notis arahan untuk tindakan penambahbaikan, pengeluaran kompaun, penahanan operasi kelengkapan, gantung lesen dan penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan.

0307 NAZMI SERBU KILANG HARAM 2
Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) ketika mengetuai operasi khas bersama JAS dalam Ops Patuh di Sungai Petani hari ini

SITI AISHAH MD ISA