fb fb fb fb fb

Jabatan Imigresen Perak tahan 26 warga asing

FOTO Jabatan Imigresen Perak

IPOH, 19 Julai-Penjual Mangga Asam Boi warga Bangladesh antara 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menerusi operasi yang dijalankan pada 9.00 pagi Khamis dan tamat pada awal pagi Jumaat.

Ia hasil pemeriksaan terhadap 15 premis kediaman, perniagaan, hotel dan refleksologi termasuk tepi jalanraya di sekitar daerah Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak dan Bagan Datoh.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik menerusi satu kenyataan berkata, operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh dan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Teluk Intan.

Jelasnya, seramai 63 individu yang berada di premis – premis tersebut telah diperiksa.

Pihaknya menahan 26 orang PATI dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka terdiri daripada 11 orang warga Indonesia, enam Myanmar, tiga Bangladesh, tiga India, dua Thailand dan satu Sri Lanka yang berusia antara 18 hingga 49 tahun.

Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan Depot Imigresen Langkap untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal / berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD