fb fb fb fb fb

Imigresen Kelantan tahan 28 PATI dalam operasi di Gua Musang

FOTO JIM KELANTAN

GUA MUSANG, 15 November- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan menahan seramai 28 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi yang dijalankan pada Rabu dan Khamis lalu di sekitar Gua Musang.

Timbalan Pengarah (Pengurusan), JIM Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, bertindak atas hasil risikan pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap warga asing di beberapa premis di Kg Jerek Bertam, Ladang Blau dan Meranto.

Jelasnya dalam operasi itu, JIM Kelantan berjaya menahan tujuh lelaki warga Bangladesh, 18 lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga Myanmar.

Kesemua warga asing yang diperiksa berumur dalam lingkungan 19 tahun hingga 50 tahun.

"Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.

Tambah Nik Akhtarulhaq, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE