fb fb fb fb fb

PDRM diseru lebih proaktif kekang jenayah babitkan eksploitasi AI

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Razarudin Husain / FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih proaktif dan berinovasi bagi mengekang eksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah modus operandi penjenayah serta menjadikan jenayah komersial semakin kompleks di negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Razarudin Husain berkata, penstrukturan perjawatan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman adalah usaha dan langkah drastik yang telah dijalankan pengurusan tertinggi bagi mendepani cabaran baharu ini.

"Salah satu contoh yang membimbangkan ialah penggunaan teknologi 'deepfake' yang membolehkan penjenayah mencipta kandungan palsu, baik dalam bentuk video, gambar, mahupun audio untuk memperdaya mangsa.

"Kemajuan ini menuntut kita mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovasi bagi mengekang eksploitasi teknologi tersebut dalam penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Tambahnya, sebanyak 691 perjawatan telah dikenal pasti dan diambil daripada jabatan-jabatan lain bagi memenuhi keperluan JSJK.

Selain itu, penstrukturan semula perjawatan yang sedia ada di dalam JSJK, melibatkan 906 perjawatan turut telah dilakukan melalui kaedah agihan dalam jabatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE