fb fb fb fb fb

Hafizul Harawi ditahan di Kota Bharu

Suspek Hafizul Harawi

KOTA BHARU, 15 April- Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, sebelum ditahan di Jalan Bayam, Kota Bharu, petang tadi akan direman esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 38 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu, bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Beliau berkata, suspek dalam keadaan sihat dan baik secara fizikalnya.

Pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat dan akan mengadakan sidang media esok.

"Lepas reman esok baru kita buat sidang media. Hari ini kita proses dulu suspek yang kita tahan tadi. Dia (suspek) dalam keadaan yang sihat alhamdulillah.

"Esok setelah kita kumpul segala maklumat yang kita perlu, kita boleh kongsikan sedikit dengan pihak media," jawabnya ringkas ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Sebelum ini media melaporkan, selepas melarikan diri lebih daripada 36 jam namun suspek lelaki berkenaan Hafizul Harawi, ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut mengesahkan suspek ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, kira-kira pukul 3.00 petang tadi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI