fb fb fb fb fb

Guru tadika didakwa cuai sebabkan kematian kanak-kanak

Seorang guru tadika, S. Esther Christina, 60, didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan cuai / Foto RTM

IPOH, 7 Januari – Seorang guru tadika, S. Esther Christina, 60, didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki, V. Thanes Nair, 4, pada April 2023.

Esther bersama seorang lagi guru dari tadika sama, M. Manisah, 29, bagaimanapun mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Kedua-dua tertuduh didakwa meninggalkan mangsa tanpa pengawasan dan pemeliharaan bagi tempoh yang tidak munasabah, di kolam renang Tadika Kinder Lab Sdn Bhd, Bandar Baru Sri Klebang, Ipoh, pada pukul 10.07 pagi, 17 April 2023.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, mengemukakan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Gary Xavier dan Jason Anthony.

Hakim membenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.

Insiden yang berlaku pada 17 April 2023 itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke tadika tersebut.

Mangsa yang terjatuh ke dalam kolam renang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia pada 23 April 2023 selepas dirawat selama enam hari di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN