fb fb fb fb fb

Guru madrasah mengaku tidak bersalah cederakan murid

Guru madrasah Amirul Hakim Johari, 27, (dua, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Baling hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang muridnya berusia lapan tahun baru-baru ini/FOTO BERNAMA

SIK, 20 November - Seorang guru lelaki sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Baling dekat sini, atas pertuduhan mencederakan seorang muridnya berumur lapan tahun baru-baru ini.

Amirul Hakim Johari, 27, dituduh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak lelaki itu di Madrasah Baituttaqwa Warahmah di Kampung Durian Burung, Sik pada 11 Nov lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada seorang anak berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu kemudiannya dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Hakim Najwa Che Mat kemudiannya menetapkan 21 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Al-Sabri Ahmad Kabri. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN