fb fb fb fb fb

Guru besar direman enam hari, buat tuntutan palsu lebih RM1.3 juta

Tertuduh diiringi pengawai SPRM ketika meninggalkan mahkamah

KUALA TERENGGANU, 6 Februari- Seorang guru besar wanita direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkaitan pembekalan makan minum murid dan kontrak pembersihan sekolah bernilai lebih RM1.3 juta.

Turut direman dua lagi individu iaitu seorang pengurus dan penyelia syarikat yang sama.

Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia antara 34 hingga 46 tahun dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan.

Manakala kesemua suspek itu diwakili peguam daripada Tetuan Rahmat, Wan & Rahmat serta Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Penahanan kesemua suspek itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 .

Terdahulu, kesemua suspek didakwa berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di Terengganu melibatkan kontrak pembekalan bernilai RM1.3 juta.

Tuntutan palsu itu dikemukakan bermula 2022 sehingga 2023 melibatkan 100 murid berbanding jumlah sebenar murid adalah 35 orang.

Kes disiasat pegawai SPRM penolong kanan penguasa Mohd Yuslin Yusoff dan Penolong Penguasa Syahrul Azam Zakaria.

SPRM Terengganu turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE