fb fb fb fb fb

Guna wang palsu, pekerja kilang mengaku tidak bersalah

S. Karunagaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth

BUTTERWORTH, 24 Januari- Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan 9,600 keping wang palsu nota RM100 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth.

Tertuduh, S. Karunagaran,37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 1,600 keping dengan nombor siri sama manakala 8,000 keping lagi menggunakan cetakan sebelah sahaja.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu disebuah premis di Lengkok Kikik 4, Taman Inderawasih, Perai pada 14 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 23 Februari depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI