IPOH, 1 Ogos - Tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 34 hingga 47 tahun ditahan polis Perak selepas disyaki terlibat sindiket curi kereta mewah.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya turut melepaskan tiga das tembakan terhadap kenderaan dinaiki suspek yang bertindak agresif ketika cuba melarikan diri selepas dikejar kira-kira 20 kilometer di Taman Soon Choon, di sini.
Katanya, ketika anggota cuba menghampiri untuk melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaan sehingga ke Plaza Tol Gopeng dan telah merempuh palang di plaza tol tersebut.
"Sampai di persimpangan jejantas jalan Siputeh-Batu Gajah, kenderaan yang dinaiki suspek telah terbabas kerana tayarnya telah pecah ditembak polis dan ketiga-tiga suspek berjaya ditangkap.
"Semasa tangkapan dibuat ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan dan tangkapan dibuat dengan menggunakan kekerasan seminimum yang mungkin," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam Ketua Polis Perak bersama media, di sini pada Rabu.
Tambah Azizi, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan turut dirampas dan kesemua suspek direman empat hari bermula semalam.