fb fb fb fb fb

Nahas rombongan guru SK Jeram: Pemandu bas mengaku tidak bersalah memandu melulu

Tertuduh diringi polis ketika tiba di mahkamah

KUANTAN, 1 Ogos- Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah lori treler di Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, Pahang, 9 Jun lalu; dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Zamry Pon, 50 tahun, mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati memandu dengan melulu.

Ia setelah mengambil kira tentang situasi jalan termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan tersebut, serta jumlah lalu lintas yang boleh dijangkakan berada di atas jalan itu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

Majistret menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan 16 Ogos depan sebutan semula kes termasuk serahan dokumen.

9 Jun lalu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Akibat kemalangan, empat orang maut iaitu Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Jeram, Hasnatul Adilah Hassan; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris; pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad dan guru, Dahlia Ahmad.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE