fb fb fb fb fb

Cubaan seludup keluar 1,000 liter petrol tanpa permit sah di perairan Sandakan tumpas

Foto: FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

SANDAKAN, 31 Julai- Sebanyak 1,000 liter minyak petrol bersubsidi dipercayai cuba diseludup berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daripada sebuah bot di kedudukan 0.2 batu nautika Tenggara Kampung Bonggaya Baru di sini, pada 11.25 malam Isnin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussin berkata ia selepas sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dikesan berhampiran Pulau Bai di sini pada 10.30 malam.

"Ia dikesan pasukan rondaan Op Pluto Timur, Op Khas Cegah Pati serta Op Tiris 3.0 di lokasi tersebut.

“Maritim Malaysia kemudian menggunakan siren serta pembesar suara dan mengarahkan tekong bot memberhentikan bot bagi tujuan pemeriksaan, namun tekong bot bertindak menukar laluan dan memecut bot ke perkampungan berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Suhairy berkata pihaknya menemukan minyak petrol tanpa permit sah yang dimuatkan dalam 40 tong, namun tekong bot tersebut dapat meloloskan diri.

Beliau berkata destinasi asal bot tersebut juga sedang dalam siasatan.

“Kesemua barang rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan berjumlah lebih RM21,000 itu, dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI