fb fb fb fb fb

Gagal kemuka laporan EIA, syarikat kitar semula didenda RM20,000

Foto Jabatan Alam Sekitar

SUNGAI PETANI, 22 September- Kegagalan sebuah syarikat kitar semula sisa kertas untuk mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengundang padah apabila didenda sejumlah RM20,000.00 di Mahkamah Sesyen 2, Sungai Petani.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman denda tersebut selepas peguam bela yang mewakili syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) mengaku salah di atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan fakta kes, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada 26 September 2023 oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah di premis yang terletak di kawasan perusahaan Sungai Petani didapati telah membina loji kitar semula bertujuan untuk menjalankan kitar semula kotak kertas terpakai (old and used corrugated carton boxes) tanpa kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar.

Kesalahan di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak pembelaan memohon agar diringankan hukuman kerana anak guamnya telah mengambil tindakan pembetulan dengan menghantar laporan EIA dan laporan tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah pada 13 Disember 2023.

Manakala, pihak pendakwaan yang diwakili oleh pegawai pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah memohon hukuman yang setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada pihak syarikat supaya sentiasa peka terhadap keperluan perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengelakkan sebarang aktiviti syarikat menyumbang kepada pencemaran udara ke alam sekitar dan memberi kacauganggu kepada penduduk berdekatan.

Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi keperluan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada setiap masa.

ROSLINA BINTI DIN