fb fb fb fb fb

Empat suspek disyaki Along samun, pukul peminjam

Azizi Mat Aris (dua kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas polis

IPOH, 13 Ogos- Empat individu dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau Along didakwa menyamun dan mencederakan seorang peminjam di Ayer Tawar, Manjung, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa berusia 20 tahun mengalami kerugian sebanyak RM5,000 serta kehilangan tiga unit telefon bimbit.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa telah dicederakan oleh empat suspek ketika sedang makan di rumahnya selepas didakwa gagal membayar pinjaman berjumlah RM1,000.

"Kesemua suspek melarikan diri menaiki dua kenderaan (dengan) nombor pendaftaran tidak pasti selepas ibu pengadu menjerit meminta tolong," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Tiga suspek telah ditahan pada 9 dan 11 Ogos lepas dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lagi suspek sedang diburu polis.

SITI AISHAH MD ISA