fb fb fb fb fb

Dua lelaki edar ganja seberat 52.5kg diberkas polis

Foto Fail

GEORGE TOWN, 13 Ogos- Dua lelaki termasuk seorang remaja yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mengedar ganja, berjaya diberkas.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 18 dan 28 tahun, ditahan dalam serbuan di Kampung Dodol, Jalan Perak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata hasil serbuan pihaknya berjaya merampas 50 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 52.5 kilogram (kg).

Kesemua dadah terbabit disembunyikan dalam tiga kotak buah bertulisan Siam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Hasil siasatan mendapati dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran itu untuk pasaran tempatan.

"Mereka menjalankannya sendiri, berumur 28 tahun bekerja sebagai juruteknik elektrik manakala yang berumur 18 tahun itu membantu yang berumur 28 tahun itu sebagai juruteknik elektrik," kata Razlam kepada pemberita, hari ini.

Keseluruhan rampasan termasuk sitaan dianggarkan bernilai RM165,347.

Remaja lelaki itu turut didapati positif dadah dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua mereka direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyan 39B Akta Dadah Berbahaya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM