fb fb fb fb fb

Cederakan bekas isteri: Pendakwaan teruskan kes terhadap pelakon Hafidz Roshdi

Pelakon Hafidz Roshdi (depan tengah) bersama peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader (depan kiri) selepas hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 12 Julai lalu/Foto BERNAMA

KUALA KUBU BHARU, 13 Ogos - Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa kes pelakon Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakan bekas isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri pada Mac tahun lepas, akan diteruskan dengan perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

“Hari ini ditetapkan untuk mengetahui status penarikan balik laporan polis pengadu (Nurul Shuhada). Pihak pendakwaan telah menerima arahan untuk meneruskan kes terhadap tertuduh (Hafidz). Oleh itu, saya mohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” kata Asmah.

Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan berikutan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi berhubung kes itu.

“Saya agak terperanjat dengan arahan yang diterima pihak pendakwaan, namun saya menghormati apa yang dinyatakan pendakwaan. Pengadu telah menarik balik laporan polis berhubung kes ini pada 6 Julai dan menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak mahu meneruskan kes terhadap anak guam saya.

“Demi keadilan anak guam, kami (pembelaan) berhasrat untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan memerlukan masa dua bulan untuk mendapatkan status berhubung representasi,” kata peguam itu.

Asmah kemudian menetapkan 14 Okt untuk sebutan kes bagi keputusan representasi.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Akberdin berkata representasi itu adalah untuk menarik balik pertuduhan terhadap pelakon berkenaan.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi, 2 Mac 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN