TAWAU, 13 Ogos - Sebanyak 13 remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki di Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac lepas.
Pertuduhan terhadap kesemua remaja lelaki berumur antara 16 hingga 19 tahun itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol yang kemudiannya menetapkan perbicaraan kes bermula 18 hingga 22 Nov dan 25 hingga 29 Nov tahun ini.
Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Mac, Mohamad Nazmie Aizzat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam pada beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana dan Hurman Hussain, sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, dan seorang remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, manakala tiga lagi tidak diwakili peguam.
Mohd Suhaimi memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 hingga 12 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.
Pada 2 April lepas, 13 pelajar berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan itu dan kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Julai. - BERNAMA