fb fb fb fb fb

Empat sekawan didakwa rogol dua kanak-kanak

Dua daripada empat tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini

IPOH, 29 Mac- Empat sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen sini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas dua kanak-kanak perempuan pada November tahun lalu.

Kesemua tertuduh berusia antara 23 hingga 30 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani. 

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Ikqwanniezam Abdullah, 24, dan Muhamamd Fariq Fadzillah, 30, telah melakukan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan, 13, yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat. 

Sementara itu, tertuduh, Muhammad Alif Muhammad, 23, didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu menyentuh kemaluan (faraj) seorang kanak-kanak perempuan, 13, manakala tertuduh, Noraisman Salleh, 27, didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu menyentuh kedua-dua payudara seorang kanak-kanak berusia 14 tahun.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 14(c) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017 yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Kesemua tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah sewa di Mambang Diawan, Kampar antara pukul 3.30 petang hingga 10.30 malam.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak menganggu mangsa. 

Sebutan semula kes pada 8 Mei dan 10 Mei depan.

SITI AISHAH MD ISA