JOHOR BAHRU, 26 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik, dikenali sebagai kegiatan 'pasport terbang'.
“Dua suspek utama ditahan semasa pemeriksaan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semalam sebelum diserahkan kepada SPRM,” katanya.
Dua lagi pegawai ditahan kerana dipercayai bersubahat.
SPRM turut merampas 14 pasport milik warga asing, empat telefon bimbit milik suspek utama dan wang tunai RM2,800 yang dipercayai hasil rasuah.
"Setiap pasport dipercayai dikenakan bayaran sekitar RM200 bagi cap keluar masuk tanpa kehadiran pemilik," katanya lagi.
Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru esok bagi permohonan reman.