KUALA LUMPUR, 27 Julai - Empat pegawai penguat kuasa ditahan reman disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 semasa bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor sempadan Johor-Singapura.
Perintah reman selama enam hari sehingga 1 Ogos 2025 terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Mohamad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.
Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Johor, semalam.
"Dua suspek utama telah ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter pada Jumaat dan kemudian diserahkan kepada SPRM.
"Susulan penahanan itu, dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini," katanya.
Tambah sumber, semasa penahanan dilakukan semalam, sebanyak 14 pasport warga asing, empat unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama dan juga wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 ditemukan.
“Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit yang ditemui mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah melibatkan kegiatan pasport terbang.
“Bagi setiap satu pasport yang dicap tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.