KUALA LUMPUR, 4 Mac- Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.53 juta kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar dadah tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek terbabit dipercayai terbabit dengan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah termasuk seorang yang berperanan sebagai 'ahli kimia' untuk menghasilkan cecair rokok elektronik mengandungi dadah.
"Daripada siasatan awal sindiket ini telah pun aktif sejak Januari tahun ini dan menyasarkan pelanggan di pasaran Lembah Klang. Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan 116,000 pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas Ketua Polis Kuala Lumpur di pejabatnya di ibu negara.
Selain dadah jenis syabu, pil ekstasi, ketamin, pil erimin 5 dan kartrij vape, turut dirampas pelbagai jenis bahan kimia, wang tunai, barangan kemas serta sebuah kenderaan.
Mereka yang berusia antara 26 hingga 42 tahun itu dipercayai terlibat dalam menjadikan inap desa sebagai stor menyimpan dadah sebelum diedarkan. Selain menjadikan kondominium mewah sebagai pusat pemprosesan cecair vape mengandungi dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 39A (1) dan 29B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tangkapan berkenaan hasil daripada empat operasi dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara pada 26 Februari lalu.