KUANTAN, 12 Oktober - Empat anggota dan pegawai polis termasuk seorang wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi semalam, dipercayai positif dadah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan tangkapan ke atas mereka yang berusia antara 30 hingga 40 tahun, kesemuanya bertugas di negeri ini.
Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, kira-kira pukul 2.30 pagi.
Ketika serbuan, mereka dipercayai berada dalam sebuah bilik karaoke di premis berkenaan.
Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan masing-masing direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.