KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Seorang duda anak lima yang menjadi individu pertama dikenakan hukuman sebat atas kesalahan khalwat berulang, selesai menjalani hukuman tersebut.
Tukang rumah itu menjalani hukuman selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Dia disebat sebanyak enam kali oleh tukang sebat dari Jabatan Penjara Marang di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd Irwan Awang, dan disaksikan oleh kira-kira 70 orang.
Hukuman tersebut mengambil masa dua minit, dengan pesalah berdiri membelakangi sebuah meja, mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Terdahulu, tertuduh tiba di masjid tersebut pada pukul 2.30 petang dari Penjara Marang dan dibawa ke bilik persediaan selama 20 minit untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum hukuman dilaksanakan pada pukul 2.50 petang.
Selesai menjalani hukuman, tertuduh dibawa keluar dari dewan masjid dan dihantar semula ke Penjara Marang.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000, atau penjara sehingga tiga tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
BERITA BERKAITAN: