fb fb fb fb fb

Dua warga Pakistan dicekup jadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen

FOTO Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 November- Dua lelaki warganegara Pakistan dipercayai dalang utama dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan membabitkan warga asing antara sembilan yang ditahan Jabatan Imigresen dalam tiga serbuan di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Zakaria Shaaban menerusi satu kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan 14 November lalu hasil aduan awam dan risikan selama tiga minggu.

Susulan itu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan telah menahan dua buah kenderaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’ berusia 27 dan 37 tahun.

Turut ditahan enam lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara India yang berada di dalam kenderaan berusia di antara 21 hingga 55 tahun.

Hasil soal siasat terhadap dua ‘dalang utama’, pasukan operasi telah merampas 161 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 74 naskhah pasport Bangladesh, 33 naskhah pasport Pakistan, 26 naskhah pasport India, 19 naskhah pasport Indonesia, enam naskhah pasport Myanmar, senaskhah pasport Filipina, senaskhah pasport Iraq, senaskhah pasport Thailand dan satu set komputer riba.

Turut disita dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Innova dan sebuah kenderaan jenis Proton Exora.

Semakan awal mendapati seorang lelaki warganegara Pakistan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang masih sah laku manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

Sindiket berkenaan menggunakan pasport tulen milik individu lain atau telah tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata bagi kemudahan warganegara asing memohon pemeriksaan kesihatan FOMEMA.

Sindiket juga akan membawa warganegara asing yang telah dibekalkan pasport yang telah diubah suai ke klinik bagi tujuan pemeriksaan kesihatan. Sindiket dipercayai aktif sejak enam bulan lalu, mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap urusan.

Sehubungan itu, seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lagi warganegara Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala, tujuh lelaki warga asing lain pula kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, dua lelaki yang merupakan ‘dalang utama’ diserahkan pada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE