fb fb fb fb fb

143 tahanan warga asing dihantar pulang ke negara asal- JIM Johor

FOTO JIM JOHOR

JOHOR BAHRU, 16 November- Seramai 143 tahanan warga asing dihantar pulang ke negara asal sepanjang minggu ini, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, Sepang, Selangor serta Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru, Johor.

Menerusi kenyataan Facebook Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Johor, kesemua mereka dihantar pulang setelah selesai menjalani hukuman penjara.

Warga asing terlibat merupakan 105 warga Indonesia, 16 warga Pakistan, lapan warga Nepal, lima warga Vietnam, lima warga Filipina, tiga warga Kemboja dan seorang warga Thailand.

Dokumen perjalanan sementara turut dikeluarkan, untuk pulang ke negara asal oleh kedutaan negara masing-masing.

Mereka juga disenarai hitam dalam Sistem Jabatan Imigresen dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini mengikut tempoh ditetapkan.

Kos tiket penerbangan, ditanggung sepenuhnya oleh wang simpanan mereka dan sumbangan daripada ahli keluarga, manakala bagi kes tertentu dibiayai kedutaan negara berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE