fb fb fb fb fb

Pelajar IPTA ditahan edar ganja bernilai RM2,500

Polis menahan empat pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang disyaki mengedar dadah jenis ganja bernilai RM2,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Seri Iskandar, Perak / Foto RTM

SERI ISKANDAR, 15 November – Polis menahan empat pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang disyaki mengedar dadah jenis ganja bernilai RM2,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Seri Iskandar pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Perak, Timbalan Pesuruhjaya Polis DCP Zulkafli Sariaat berkata kesemua pelajar yang terlibat terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan itu ditahan sekitar pukul 1.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui dua paket plastik lutsinar dan dua ketulan mampat ganja seberat kira-kira 1.9 kilogram. Turut disita sebuah kereta jenis Mercedes Benz, wang tunai berjumlah RM400 dan seutas rantai leher,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan lucut hak ke atas barang sitaan dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN