fb fb fb fb fb

Dua sindiket edar dadah bernilai RM3.85 juta tumpas

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata modus operandi sindiket dengan menjadikan unit kondominium sebagai sarang memproses dan mengedar dadah /RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober– Dua sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditumpaskan dengan nilai rampasan mencecah RM3.85 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, enam individu terdiri daripada 3 lelaki tempatan, dan tiga wanita warga asing ditahan dalam enam siri serbuan dijalankan.

"Modus operandi sindiket ini dengan menyewa unit kondominium persendirian yang dikawal pengawal keselamatan untuk melakukan kegiatan berkenaan," katanya pada sidang media khas di IPK Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama di Maluri, Cheras, polis menahan seorang lelaki bersama 1,000 paket dadah jenis methylenedioxymethamphetamine
(MDMA) seberat lebih 18 kilogram.

Tangkapan susulan di Pandan Perdana membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk MDMA, Erimin 5, ketamin dan pil ekstasi.

Dua lagi wanita warga asing diberkas di sebuah kondominium di Pandan Perdana yang dijadikan stor pemprosesan dadah, dengan penemuan lebih 420 kilogram MDMA serta peralatan pemprosesan.

Serbuan terakhir di Jalan Imbi pula menahan seorang lelaki bersama bunga ganja seberat hampir 39 kilogram.

Datuk Fadil berkata, sindiket pertama dipercayai aktif sejak Februari, manakala sindiket kedua mula beroperasi pada September lalu.

Dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, dan semua ditahan direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI NOORAIN ABDULLAH