fb fb fb fb fb

Dua pikap ditahan, cuba seludup minyak diesel bersubsidi ke negara jiran

Pikap bernombor pendaftaran negara jiran didapati mengubah suai tangki asal dan memasang tangki tambahan bagi menyeludup minyak diesel bersubsidi

KUBANG PASU, 9 Disember - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam menahan dua buah pikap bernombor pendaftaran negara jiran selepas didapati mengubah suai tangki asal dan memasang tangki tambahan bagi menyeludup minyak diesel bersubsidi.
  
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam operasi pertama pada pukul 4.49 petang semalam, pihaknya menahan sebuah pikap berwarna putih di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
 
"Hasil pemeriksaan menemukan tangki tambahan yang mengandungi 900 liter minyak diesel. Dalam operasi kedua kira-kira tiga jam kemudian, sebuah lagi pikap ditahan.
 
"Pemeriksaan menemukan 800 liter minyak diesel di dalam tangki yang telah diubahsuai. Kesemua 1,700 liter minyak diesel bernilai RM5,236 dan dua kenderaan bernilai RM100,000 dirampas untuk siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.
 
Kes diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan disiasat bawah Seksyen 6 dan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI