fb fb fb fb fb

Dua penternak lembu bebas daripada tuduhan edar dadah dan miliki senjata api

Foto RTM

KOTA BHARU, 21 April - Mahkamah Tinggi Kota Bharu, melepaskan dan membebaskan dua penternak lembu atas dua pertuduhan mengedar dadah dan satu pertuduhan memiliki sepucuk pistol pada Februari 2019.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, Wan Marzuki Wan Daud, 59 tahun, dan Mohd Naim Azmi, 37 tahun di akhir kes pendakwaan.

Datuk Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor, pihak pendakwaan gagal membuktikan dan keterangan berkenaan bercanggah. 

Selain itu katanya, rumah yang didiami oleh kedua-dua tertuduh itu boleh dimasuki oleh orang lain, dengan itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 749.5 gram dan heroin seberat 87.8 gram.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Pinggiran Atira 3, belakang Sekolah Menengah Kok Lanas, Kota Bharu, jam 12.50 tengah malam, pada 25 Februari 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenis Revolver 700-31 dengan menyalahi undang-undang pada pukul 12.10 tengah malam di sebuah rumah lain di taman yang sama dan pada tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar dan tertuduh pertama diwakili J Matthews dan Muhammad Farhan Ahmad Fadzil, manakala tertuduh kedua diwakili peguam Datin Norah Abu Bakar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD